Showing posts with label Cuepacs. Show all posts
Showing posts with label Cuepacs. Show all posts

Tuesday, 21 April 2015

PANDANGAN PERIBADI TIDAK HARUS HALANG PENJAWAT AWAM LAKSANA TUGAS - SALLEH

KOTA KINABALU, 21 April (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said mengingatkan penjawat awam agar tidak menjadikan perbezaan pandangan dengan kerajaan yang memerintah sebagai penghalang untuk mereka melaksanakan tugas sebaik-sebaiknya. Salleh berkata dalam sistem pemerintahan demokrasi seperti diamalkan kerajaan Malaysia, semua penjawat awam bertanggungjawab menyokong kerajaan yang memerintah pada ketika itu dengan melaksanakan segala dasar yang telah ditetapkan. "Pandangan peribadi kita tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kita untuk berbuat demikian (melaksanakan segala dasar kerajaan). 

Datuk Seri Salleh Said Keruak
Tanggungjawab kita ialah memberi kerjasama sepenuhnya kepada kepimpinan negara. "Jika kita sabotaj atau menghalang usaha-usaha kerajaan maka kita adalah seorang kakitangan yang tidak bertanggungjawab kerana kita bekerja untuk 'government of the day', bukan soal politik kepartian " katanya. Salleh bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Isu-isu Semasa dan Kesannya Terhadap Pengukuhan Nasional' sempena program Bicara Intelek anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini hari ini. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Penerangan Sabah Datuk Almain Ajirul dan ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Isu-isu disentuh termasuk pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mengenai CBP, Salleh berkata penjelasan rasional, berdasarkan realiti sebenar dan mudah mengenai sistem itu perlu dilakukan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan rakyat lebih mudah memahaminya. -- BERNAMA

Saturday, 7 March 2015

CUEPACS MINTA NIAK GAJI TIDAK TANGGUH LAGI

REMBAU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan supaya tidak menangguhkan semakan kenaikan gaji 252 skim perkhidmatan awam seperti yang dibentangkan sebelum ini. Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan isu kejatuhan harga minyak dunia dan nilai ringgit untuk menangguhkan perlaksanaan skim gaji berkenaan memandangkan nilai rizab kerajaan masih mampu menampung perbelanjaan sedia ada. 

"Sekiranya ia ditangguhkan, Cuepacs akan membuat bantahan kerana 1.5 juta penjawat awam sudah lama bersabar sedangkan kos sara hidup semakin tinggi. “Penjawat awam ialah ‘enjin’ dan denyut nadi kerajaan. Tangga gaji penjawat awam Kumpulan Pelaksana 1 dan 11 masing-masing RM805 dan RM820 dan jumlah ini di bawah garis kemiskinan," katanya. Justeru katanya, Cuepacs meminta kerajaan menyegerakan semakan gaji dan elaun lama yang tidak selaras dengan negara maju. Azih berkata, Cuepacs juga meminta kerajaan mempertimbangkan kembali nasib 60,000 pekerja kontrak sektor awam yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini. 

Menurut Azih, Cuepacs menerima aduan daripada pekerja kontrak yang risau sekiranya perkhidmatan mereka tidak dilanjutkan atau diserap ke jawatan tetap walaupun sudah berkhidmat hampir lima tahun. "Kebanyakan mereka mempunyai tanggungan dan kita membawa harapan mereka ini untuk diserapkan dalam perkhidmatan awam. Kita faham jika jawatan kontrak perkhidmatan projek tidak diteruskan, tetapi bagi jawatan frontliner, kerajaan perlu meneliti semula hasrat untuk menamatkan perkhidmatan mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke pejabat sementara, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, dekat sini, semalam. Azih berkata, sekiranya kerajaan melaksanakan langkah penamatan pekerja kontrak, ia seolah-olah tidak memberi peluang kepada orang muda berkhidmat dalam kerajaan. “Sebagai contohnya, terdapat kira-kira 1,200 kakitangan KPDNKK berstatuskan pekerja kontrak walaupun mereka memiliki ijazah. “Bila tamatkan kontrak, ia umpama tutup pintu untuk orang muda bekerja dengan kerajaan dan tidak bersimpati dengan lepasan universiti," katanya

Tuesday, 24 December 2013

Isu Semasa : Sasar Tingkatkan Gaji Penjawat Awam


Kuala Lumpur: CUEPACS akan menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan penjawat awam kepada RM4,000 sebulan dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Presidennya yang baru, Azih Muda berkata usaha meningkatkan gaji penjawat awam termasuk kumpulan pelaksana II, seperti pembantu am dan pemandu itu akan menjadi agenda utama kesatuan berkenaan.

Azih, 56, berkata, sasaran itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi, dengan syarat kelayakan ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma.

Agenda utama

Agenda ini akan kita bincangkan pada peringkat kongres sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi, termasuk kepada Perdana Menteri, katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Presiden CUEPACS bagi penggal 2013-2016 pada pemilihan Konvensyen Tiga Tahun Sekali CUEPACS di Dewan Wawasan, Menara PGRM Cheras, di sini semalam.

Azih berkata, ketika ini penjawat awam kumpulan pelaksana dengan gaji sekitar RM1,200 termasuk elaun kakitangan awam tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, cabaran berdepan dengan kenaikan kos sara hidup bukan hanya dialami kumpulan pelaksana sebaliknya penjawat awam lain yang bergaji kurang RM3,000 sebulan, terutama di bandar.
Beliau berkata, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015 akan meningkatkan pendapatan negara dan ia boleh digunakan untuk menambahbaik skim gaji penjawat awam.

Kerajaan boleh tambah baik skim gaji, elaun dan insentif penjawat awam supaya mereka lebih fokus dengan hala tuju ditetapkan Perdana Menteri, katanya merujuk kepada sasaran negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Aziz juga menyifatkan pemilihannya sebagai Presiden CUEPACS satu amanah yang berat untuk memperjuangkan aspirasi dan kebajikan penjawat awam, turut mencadangkan supaya bekas presiden Datuk Omar Osman dilantik sebagai senator untuk meneruskan sumbangannya kepada rakyat dan negara.

Sumber : Berita Harian, 20/12/2013

Isu Semasa : Teruskan perjuangan Gaji Setimpal Kakitangan Awam


KUALA LUMPUR 19 Dis. - Kepemimpinan baharu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bertekad memperjuangkan agenda pendapatan RM4,000 sebulan untuk penjawat awam negara ini.Presiden CUEPACS yang baharu dipilih, Azih Muda berkata, perkara itu akan diusahakan bersungguh-sungguh dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.Beliau berkata, jumlah pendapatan yang diraih oleh penjawat awam terutama peringkat paling rendah seperti pembantu am rendah dan pemandu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan kos yang perlu dibelanjakan setiap bulan.

"Untuk dua jawatan ini, gaji asas mereka ialah RM820 dan selepas dicampurkan dengan elaun jumlahnya hanya sekadar RM1,100. Jumlah ini tidak mencukupi."Oleh itu kita perlu memperjuangkan pendapatan yang lebih baik untuk penjawat awam kita ini dan saya lihat jumlah paling sesuai adalah RM4,000 sebulan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Presiden CUEPACS dalam Konvensyen Tritahunan CUEPACS di sini hari ini.

Azih berkata, untuk merealisasikan hasrat tersebut, kepimpinan baharu CUEPACS akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Selain memperjuangkan pendapatan lebih baik, Azih berkata, pihaknya akan melihat beberapa perkara lain bagi tujuan penambahbaikan penjawat awam sekali gus menjaga kebajikan mereka.Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan penghargaan kepada bekas Presiden, Datuk Omar Osman kerana mewariskan sebuah kesatuan yang cemerlang dan stabil.

"Memang tidak dinafikan Omar telah meletakkan CUEPACS pada kedudukan terbaik. Kami mewarisi satu legasi kepimpinan yang begitu cemerlang."Sebagai Presiden yang baharu saya akan berusaha mengekalkan kecemerlangan yang telah diasaskan oleh Omar selama beliau menjadi Presiden CUEPACS sejak tujuh tahun lalu," ujarnya.Dalam pada itu beliau berharap kerajaan dapat menimbangkan permintaan CUEPACS untuk melantik Omar sebagai Ahli Dewan Negara.